Selepas saya mengerjakan haji pada tahun 2011, salah seorang rakan lelaki saya pernah bertanya “Apa faedah yg kau dapat pergi haji muda-muda ni? Rilekla dulu, muda lagi..."
Terkedu juga saya ketika itu dengan soalan rakan saya itu. Saya teringin untuk menjawab tentang keistimewaan hari Arafah, tetapi lidah saya kelu kerana mungkin tidak pernah bercakap soal agama kepada rakan tersebut. Saya mahu menjawab mengikut kata hati saya yang sebenar, tetapi ayat yang dikeluarkan di mulut berlainan.
Saya ingin berkongsi sebuah kisah tentang dua orang lelaki yang datang bertanyakan soalan perihal haji di Masjid Khaif kepada Rasulullah S.A.W. Kisah ini boleh anda baca dalam buku Makkah al-Mukarramah Kelebihan & Sejarah (keluaran Telaga Biru)
Abdullah bin Umar r.a berkata :
“Aku duduk bersama Rasulullah s.a.w di Masjid Mina, tiba-tiba datang 2 orang lelaki, seorang daripada kalangan Ansar (orang Madinah) dan seorang lagi daripada Bani Thaqif (Taif). Mereka berdua memberi salam kemudian berkata : “Wahai Rasulullah, kami datang ingin bertanya kepada tuan.”
Rasulullah s.a.w pun bersabda : “Jika kamu mahu, aku khabarkan kepada kamu tentang tujuan kedatangan kamu , atau aku diam dan kamu bercakap?” Jawab 2 lelaki tersebut : “Khabarkanlah kepada kami wahai Rasulullah.”
Sabda Nabi s.a.w : “Kamu datang kerana ingin bertanyakan kepadaku tentang tujuan kamu keluar dari rumah dan menuju ke Baitullah, melakukan 2 rakaat solat sunat selepas tawaf, sa’i di antara Safa dan Marwah, wuquf pada hari Arafah, melontar di Jamarat, menyembelih korban, bercukur kepala dan tawaf Ifadhah di Baitullah, semua yang kamu lakukan itu apakah yg kamu dpt daripadanya?”
Jawab mereka : “Demi Allah yg telah mengutuskan tuan dengan kebenaran, memang kami ingin bertanya tentang perkara ini. “
Nabi s.a.w bersabda: “Apabila kamu keluar dari rumah kamu menuju ke Baitullah, tidak mengangkat & meletak kaki unta kamu melainkan Allah s.w.t tuliskan bagi kamu kebaikan dan dihapuskan kejahatan. 2 rakaat solat sunat tawaf yg kamu lakukan pahalanya adalah sama spt memerdekakan seorang anak cucu Nabi Ismail a.s. Manakala sa’i di antara Safa & Marwah pahalanya adalah sama seperti memerdekakan 70 org hamba. Wuquf yg kamu lakukan pada hari Arafah, sesungguhnya Allah s.w.t turun ke langit dunia(langit yang paling bawah) dan berbangga-bangga dengan kamu di hadapan malaikat dgn firman-Nya yg bermaksud : “Hamba-hamba Ku datang dari segenap pelusuk dunia yang jauh, dalam keadaan tidak terurus serta berdebu-debu tubuh mereka, semata-mata mengharapkan rahmat-Ku dan takutkan azab-Ku, sedangkan mereka tidak pernah melihat-Ku, bagaimana jika mereka melihat Aku? Jika mereka datang dgn dosa sebanyak bilangan pasir, titisan hujan atau buih di lautan nescaya Aku akan hapuskan kesemuanya.”
Allah s.w.t berfirman lagi yg bermaksud :”Keluarlah kamu dari Arafah dengan dosa yang telah diampunkan daripada kamu dan bagi sesiapa yg kamu meminta ampun utk mereka.”
Setiap biji batu yg kamu lontar di Jamrah akan menghapuskan dosa kamu. Korban yg kamu lakukan pahalanya akan disimpan utk kamu di sisi Tuhan kamu. Kepala yg kamu cukur, setiap helai rambut akan diberi pahala dan dihapuskan dosa. Tawaf Ifadhah yang kamu lakukan menjadikan kamu sudah tiada dosa lagi. Malaikat datang meletakkan tangannya di atas bahu kamu lalu berkata : “Beramallah dengan amalan yg baik selepas ini, sesungguhnya dosa kamu yang lepas telah diampunkan.”