Di Makkah dan Madinah, anda akan bertemu pelbagai ragam manusia di Makkah & Madinah yang mungkin boleh mengelirukan anda. Masakan tidak umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di sana. Justeru itu, sangat penting untuk mengukuhkan dan mendalami ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan ibadah wajib dan sunat.
Untuk haji, biasanya dalam kursus intensif haji, akan turut juga disentuh berkaitan perkara asas seperti solat. Kalau tanya diri kita, bila kali terakhir kita belajar semula tentang solat ..? Ataupun pemahaman kita adalah apa yang dipelajari semasa zaman sekolah rendah?
Sekiranya anda pergi menunaikan umrah melalui pakej travel, kursus umrah tidak begitu intensif seperti kursus haji. Oleh itu, ulangkajilah serba sebanyak berkaitan ibadah wajib dan sunat, seperti solat.
Selain itu, ketahui serba sedikit juga perbezaan antara 4 mazhab . Antara contoh yang paling ringkas adalah Solat subuh di Masjidilharam dan juga Masjid Nabawi tidak membaca doa qunut. Ambil tahu juga serba sedikit tentang keputusan muzakarah haji tentang beberapa perkara, seperti bersentuhan lelaki dan perempuan semasa tawaf misalnya, adakah ianya membatalkan wuduk?
Di Masjidilharam & Masjid Nabawi, selesai solat berjemaah biasanya ada solat jenazah. Sekiranya tidak pernah solat jenazah sebelum ini, ambil peluang ini untuk turut serta solat jenazah.
Seiring dengan persiapan untuk menunaikan umrah, semoga bertambah juga kecintaan untuk sentiasa mendalami pengetahuan tentang ibadah wajib dan sunat :)
No comments:
Post a Comment